Rungus com

Rungus com
Rungus com

Tuesday, February 8, 2011

TEKNIK VOKAL...
Teknik vokal ialah kaedah sistematik untuk manusia menghasilkan suara yang baik dan merdu sesuai dengan lagu atau teks yang hendak disampaikan. Teknik ini ialah pembentukan untuk tujuan bermakna dan tidak berkaitan dengan pertuturan / percakapan biasa. Teknik vokal tidak akan mengubah keaslian bunyi / suara pertuturan biasa. Sebaliknya teknik ini akan memberi impak dinamika kepada suara asal.

Empat perkara utama yang mesti diperhatikan dalam penguasaan teknik vokal ialah:

1. Intonasi
Intonasi merupakan teknik vokal yang berkait-rapat dengan ketepatan nada (pitch). Intonasi inilah yang akan mewujudkan kejernihan dan kenyaringan suara. Dalam erti kata lain timbul kelunakan suara untuk pendengaran. Syarat-syarat utama untuk penguasaan intonasi ialah pendengaran yang baik, kawalan pernafasan dan rasa muzikal.

2. Artikulasi
Artikulasi ialah pengucapan atau pengeluaran nada yang jelas. Ia berkaitan dengan teknik untuk pengucapan vokal yang baik melalui pengeluaran suara yang jelas, nyaring dan merdu sehingga terdengar lunak dan gemersik. Faktor yang perlu diperhatikan dalam penguasaan artikulasi ialah postur (kedudukan) badan dan pembentukan posisi (bukaan) mulut.

3. Pernafasan
Pernafasan yang dimaksudkan dalam teknik vokal ialah proses pengambilan, penyimpanan dan pengeluaran semula udara semasa berlaku lafazan suara. Terdapat tiga cara pernafasan iaitu pernafasan dada (proses semulajadi), pernafasan perut (proses desakan) dan pernafan diafragma (proses pertuturan). Pernafasan yang digunakan dalam nyanyian ialah pernafasan diafragma kerana ia merupakan pernafasan yang digunakan untuk proses pertuturan atau pengeluaran bunyi dari peti suara manusia. Kawalan pernafasan yang baik atau yang dibentuk secara kawalan dan latihan pada pernafasan diafragma akan dapat menghasilkan suara jernih dengan nafas yang panjang serta mengurangkan ketegangan pada bahagian abdomen, dada, bahu, dan leher.

4. Tangga Nada
Tangga nada adalah susunan nada yang diatur menurut tinggi rendah bunyi sesuai dengan jarak-jarak tertentu. Sebagai contoh:

Tangga nada major bermula dari nada DO dengan pola interval (selang)
1 - 1 - ½ - 1 - 1 - 1 - ½

Tangga nada minor bermula dari nada LA dengan pola interval (selang)
1 - ½ - 1 - 1 - ½ - 1 - 1

5. Pembawaan
Pembawaan merujuk kepada kemampuan seseorang dalam menyesuaikan emosi dengan isi dan jiwa lagu yang hendak disampaikan. Di sini memerlukan daya imaginasi, lakonan dan kesedaran rasa. Pembawaan memerlukan seseorang untuk menguasai kepelbagaian bunyi di sekeliling melalui proses peniruan yang akan digabungkan untuk penghasilan lafazan nyanyian yang memberi rasa. Pembawaan ini akan memberi tusukan kalbu kepada pendengar

No comments:

Post a Comment