Rungus com

Rungus com
Rungus com

Monday, March 21, 2011

The christianity of Malaysia(2)

KEPUTUSAN Mahkamah Sivil yang memutuskan bahawa ia tiada bidang kuasa untuk mengusik keputusan Mahkamah Syariah berhubung status pertukaran agama M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah terus mencetuskan debat yang masih berlarutan.Ekoran kes itu, masyarakat bukan Islam mendesak supaya kerajaan meneliti semula dan seterusnya meminda Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memisahkan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Mereka percaya pindaan itu boleh menyelesaikan konflik bidang kuasa itu. Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (Majlis) adalah salah satu pihak yang meyakini langkah itu.
``Kebimbangan kami ialah kesan pertukaran agama itu serta tafsiran mahkamah terhadap hak kebebasan memilih agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,'' kata Rev. Wong Kim Kong. Jurucakap Majlis itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Isu Artikel 121 (1A) yang dibentuk selepas Mahkamah Syariah mengesahkan pertukaran agama Moorthy kepada Islam.
Dalam wawancara bersama wartawan NOOR AZAM SHAIRI ini, Rev. Wong meluahkan beberapa kebimbangan masyarakat bukan Islam berhubung isu-isu yang berbangkit bertolak daripada kes pertukaran agama. Wawancara ini dibuat di pejabatnya di Petaling Jaya, sehari sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Artikel 121 (1A) tidak akan dipinda.
MINGGUAN: Apakah kebimbangan masyarakat bukan Islam dalam isu ini?
WONG: Hak asasi manusia berkenaan kebebasan memilih agama, terutama seseorang yang memeluk Islam dan kesannya terhadap ahli keluarga dalam soal harta pusaka serta pertukaran agama secara automatik anak-anak di bawah umur 18 tahun.
Kebimbangan kami ialah sesetengah hakim itu tidak mempunyai keberanian profesional dan pemahaman kehakiman untuk menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan dan mentafsir Artikel 121 (1A) serta undang-undang lain yang menyentuh hak-hak orang Islam dan bukan Islam.
Itulah kebimbangan utama kami terutamanya apabila ada hakim (dalam kes Mohamad @ Moorthy) yang mengatakan mahkamah sivil tidak ada bidang kuasa terhadap keputusan mahkamah syariah.
Keadaan ini ditambah lagi apabila seorang peguam kanan persekutuan membuat kenyataan yang berat sebelah dengan mengatakan (orang bukan Islam) tidak ada remedi dari segi undang-undang, sedangkan dia sepatutnya bertindak bebas dengan mengutamakan kepentingan umum. Kenyataan itu cukup mengejutkan.
Jadi isunya bukan pertukaran agama tetapi kesan yang berbangkit daripada pertukaran agama itu?
WONG: Pertama, kesan pertukaran agama itu mengikut undang-undang dan kedua, tafsiran mahkamah terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang melanggar hak asasi manusia.
Ini adalah isu tentang hak asasi manusia, tentang tugas dan tanggungjawab hakim dan tentang pendirian berat sebelah Jabatan Peguam Negara. Semua kebimbangan ini mencetuskan persepsi bahawa undang-undang syariah akan menjadi undang-undang tertinggi negara. Ada persepsi bahawa inilah yang sedang dilakukan oleh sesetengah pihak.
Apakah kesan daripada pertukaran agama yang menjadi kekhuatiran itu?
WONG: Pertama, suami atau isteri kepada seseorang yang memeluk Islam serta anak-anaknya
yang tidak memeluk Islam tidak akan mewarisi hartanya. Harta itu akan diserahkan kepada waris yang beragama Islam atau, sekiranya tidak ada waris yang beragama Islam, ia diserahkan kepada Majlis Agama Islam. Kedua, anak-anak yang di bawah 18 tahun secara serta-merta dianggap sebagai Islam.
Tafsirannya ialah apabila masuk Islam seseorang itu kekal dalam Islam selama-lamanya. Anak-anak ini secara tidak langsung menjadi Islam kerana orang tuanya masuk Islam, dan ia tidak boleh ditukar. Seseorang itu mungkin langsung tidak mengamalkan Islam tetapi kerana pilihan dan keputusan orang tuanya mereka menjadi Islam.
Kepercayaan agama adalah soal pilihan. Sekiranya seseorang itu percaya kepada Islam, dia berhak untuk masuk Islam. Tetapi dalam kedudukan anak-anak itu mereka tidak membuat pilihan. Mereka menjadi sebahagian daripada keputusan ibu atau bapa mereka.
Kami juga khuatir terhadap tafsiran yang membawa maksud undang-undang syariah adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Ini mencetuskan kekeliruan dan akhirnya akan mengganggu keharmonian dan keutuhan sesebuah keluarga serta struktur masyarakat.
Negara ini berbilang kaum dan berbagai agama. Kami bimbang isu-isu seperti ini boleh menjejaskan integrasi dan perpaduan nasional, imej negara dan seterusnya menjejaskan imej Islam. Kita tentunya tidak mahu orang melihat Islam seperti itu.
Tetapi bukankah hubungan antara seseorang yang memeluk Islam dengan keluarganya tidak terputus sama sekali? Ayah atau ibu tetap ayah dan ibu, cuma suami dan isteri saja yang tidak boleh meneruskan perkahwinan, kalau salah seorang tidak memeluk Islam.
WONG: Ya, hubungan kekeluargaan itu tidak terputus, hanya kepercayaan dan fahaman yang berbeza.
Apa yang menjadi masalah ialah sekiranya salah seorang daripada pasangan suami isteri memeluk Islam secara senyap-senyap tetapi kemudian masih tinggal sebagai suami isteri, tidakkah mereka itu mengikut Islam telah berkhalwat?
Sekiranya salah seorang memilih untuk tidak memeluk Islam, ia bermaksud hubungan itu telah terputus. Saya menyifatkan ini sebagai gangguan kepada unit keluarga dan mencetuskan ketidakharmonian di kalangan anggota keluarga itu.
Apakah yang sepatutnya dibuat kalau seseorang itu mahu memeluk Islam?
WONG: Setiap orang harus diberi kebebasan untuk memilih agamanya. Sekiranya seorang suami mahu memeluk Islam, dia bertanggungjawab untuk membincangkannya bersama isteri. Kita harus memberikan peluang kepada mereka untuk berdialog, berbincang, berhujah atau sampai bertengkar sekali pun sehinggalah mencapai kata sepakat, seelok-eloknya dengan baik.
Kalau orang mahu bertukar agama, dia akan bertukar agama juga tetapi setidak-tidaknya hal itu dibincangkan bersama pasangannya. Tetapi malangnya pertukaran agama kepada Islam memberikan kesan kepada isteri, baik dia bersetuju ataupun membantah tindakan suaminya itu.
Oleh itu kerajaan harus mencari satu jalan untuk memberikan perlindungan kepada isteri dan anak-anak. Sekiranya penyelesaian itu dapat dicari tiada siapa yang bimbang. Apa yang menjadi kebimbangan sekarang ialah kepentingan mereka dalam soal perwarisan tidak dilindungi.
Tetapi semua perbalahan yang berbangkit daripada kes Moorthy membayangkan keluarganya membantah pertukaran agama?
WONG: Kita mesti jelas bahawa mereka menentang kerahsiaan dan kurangnya bukti yang menunjukkan pertukaran agama telah berlaku.
Pertukaran agama yang dibuat senyap-senyap itu menjadi kebimbangan?
WONG: Ya. Kami tidak menentang pertukaran agama baik kepada Islam mahupun mana-mana agama kerana Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan membenarkannya sebagai satu hak. Artikel yang sama yang juga membenarkan penyebaran agama Islam kepada sesiapa. Cuma kita tidak boleh membenarkan pertukaran agama yang dibuat secara paksaan dan dengan tidak beretika. Maksud saya kita menipu orang untuk memeluk kepercayaan kita.
Inilah juga yang selalu saya tekankan kepada rakan-rakan saya pemimpin Kristian.
Apakah cadangan saudara?
WONG: Dalam kes pertukaran agama kepada Islam, sekiranya ada peruntukan undang-undang yang melindungi pihak ketiga ia tidak menjadi masalah. Menukar agama adalah pilihan masing-masing; kalau hanya melibatkan dia seorang diri tidak mengapa. Tetapi sekiranya ia memberi kesan kepada pihak ketiga, pertukaran agama itu mestilah telus dan terbuka.
Saya berpendapat kerajaan harus menggubal undang-undang yang menjaga kepentingan dan kebajikan pasangan, anak-anak serta waris. Ini kepada saya memadai untuk mengendurkan masalah yang dihadapi.
Ketelusan dan keterbukaan itu juga penting bagi mengelakkan timbulnya sebarang kekeliruan pada masa akan datang misalnya dalam soal pengebumian. Kepada saya, kalau seseorang itu percaya kepada sesuatu fahaman atau agama, dia tidak harus takut untuk menyatakan kepercayaannya itu. Pembaptisan dalam Kristian misalnya adalah satu perisytiharan tentang kepercayaan.
Ada dua perkara dalam hal ini: Pertama, ia boleh mengelakkan kekeliruan, dan kedua, ia mengisytiharkan kepercayaan seseorang. Kenapa harus berahsia kalau memeluk Islam?
Adakah apa-apa yang menghalang seseorang daripada memeluk Islam?
WONG: Tidak ada. Saya percaya Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada seseorang untuk memilih agamanya. Saya juga percaya fahaman agama adalah pilihan peribadi.
Tetapi sebelum seseorang itu memilih mana-mana agama yang hendak dianuti, dia harus terlebih dahulu menimbangkan baik buruknya. Saya di Alor Star baru-baru ini, dan ketika makan kueytiau di tepi jalan saya ditanya oleh seorang penjual durian yang menyatakan minat hendak masuk Kristian. Tetapi katanya, dia tidak masuk Kristian kerana dia tidak boleh meninggalkan tabiat-tabiat lamanya - main perempuan, berjudi, merokok.
Agama mana pun begitu juga; ada yang boleh dan tidak boleh dibuat. Terpulanglah kepada seseorang untuk memilih. Ini pilihan masing-masing. Malah kepada anak-anak pun saya katakan begitu; mereka boleh menentukan agama sendiri apabila berumur 18 tahun nanti.
Saya rasa biar kita jelas tentang hal ini. Kami tidak membantah pertukaran agama kepada Islam, ataupun menentang Islam. Saya tahu sesetengah kelompok dalam Islam merasakan kami cuba campur tangan dalam hal- ehwal Islam. Tidak. Sekiranya seseorang itu Islam, kami setuju bahawa ia jatuh dalam bidang syariah dan patut dibicarakan oleh mahkamah syariah.
Bukankah undang-undang syariah yang menentukan seseorang itu Islam atau tidak?
WONG: Tetapi sekiranya kes itu melibatkan bukan Islam, ia harus dibicarakan oleh mahkamah sivil kerana sebagai seorang bukan Islam dia tidak boleh didengar di mahkamah syariah.
Tetapi dari segi undang-undang yang ada sekarang tidak ada apa-apa yang menyekat orang bukan Islam daripada didengar oleh mahkamah syariah.
WONG: Masalahnya tafsiran undang-undang itulah yang menjadi kekeliruan sekarang. Permohonan itu dibuat secara ex-parte (seolah-olah) mengatakan sebagai bukan Islam, hujah dan bukti mereka tidak boleh dipertimbangkan.
Selain itu, kami juga bimbang tafsiran mahkamah syariah itu boleh jadi berat sebelah, dan dalam beberapa keadaan apa yang dibimbangkan itu sudah berlaku.
Itulah sebabnya kami meminta supaya mahkamah sivil memberi remedi kepada orang bukan Islam yang tersepit dalam hal ehwal-Islam.
Ada desakan supaya Artikel 121 (1A) dipinda dan kembali kepada keadaan seperti sebelum tahun 1988.
WONG: Pada pandangan saya, kita harus mencari penyelesaian yang baik, yang tidak melukakan perasaan masyarakat Islam.
Kedudukan Mahkamah Sivil dan undang-undang Islam
Saudara telah menyuarakan banyak kebimbangan orang bukan Islam. Kebimbangan orang Islam pula ialah mahkamah sivil tidak mampu untuk memutuskan hal-hal yang berkaitan dengan Islam, berdasarkan kepada sejarah perundangan negara ini.
WONG: Kepada saya, kalau seseorang itu Islam dia tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Sebagai contoh, sekiranya pertukaran agama Moothy kepada Islam telah dibuktikan lebih awal lagi, pengebumian mengikut Islam itu adalah haknya. Tetapi isu itu kecoh kerana ada kekeliruan dan tidak jelas, dan akhirnya menimbulkan kerumitan.
Pendirian Majlis sudah berubah sekarang. Pada awalnya kami bertegas bahawa peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu harus dipinda. Tetapi setelah membincangkannya dengan mendalam dan melihat keadaan sosial, kami sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk meneliti perkara ini dan memberikan pandangan kami.
Kita jangan lupa pindaan 1988 itu dibuat antara lain untuk menghalang orang Islam daripada membawa kes yang sudah diputuskan di mahkamah syariah ke mahkamah sivil. Misalkan begini. Seorang anak meminta sesuatu daripada ibu. Ibu tidak benarkan. Apabila ayah balik ke rumah, dia minta pula daripada ayah, dan ayah benarkan. Akibatnya, konflik.
Rasional Artikel 121(1A) ialah untuk melindungi kepentingan orang Islam tetapi batas undang-undang itu luas dan kita telah terkeluar daripada hadnya. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah membuat pindaan atau penjelasan bagi memastikan sekiranya sesuatu isu itu melibatkan kepentingan orang bukan Islam maka bidang kuasanya diberikan kepada mahkamah sivil.
Tetapi apakah mahkamah sivil mampu? Apakah kita tidak belajar daripada kes-kes yang diputuskan sebelum 1988?
WONG: Maksud saya sekiranya kes itu hanya melibatkan orang Islam, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa mutlak. Tetapi sekiranya ia melibatkan kepentigan pihak ketiga yang bukan Islam, seperti dalam kes Kaliammal yang tidak percaya suaminya sudah masuk Islam, ia hendaklah pergi ke mahkamah sivil.
Soalan saya ialah apakah mahkamah sivil mempunyai apa yang dikatakan sebagai the brain and the common sense untuk memutuskan hal-ehwal Islam dan kepentingan orang Islam?
WONG: Dalam isu ini mahkamah memutuskan bukti-bukti pertukaran agama, bukannya bagaimana hendak mentafsirkan undang-undang berkenaan hal-ehwal Islam. Kita jangan terkeliru dalam hal ini.
Mahkamah sivil tidak sepatutnya campur tangan dalam hal-ehwal Islam. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam hal-hal personal orang Islam berkaitan dengan Islam.
Saya suka hendak mengingatkan bahawa isu ini bukanlah isu agama atau pertembungan agama-agama lain dengan Islam. Kita perlu jelas hal ini. Inilah juga yang saya ingatkan kepada paderi-paderi saya. Saya ingatkan mereka bahawa orang Islam itu saudara-saudara kita juga.
Perlembagaan Persekutuan jelas dalam hal ini, tentang bidang kuasa antara dua mahkamah?
WONG: Selagi perkara itu menyentuh kepentingan orang Islam dan hal-ehwal Islam. Tetapi apakah tafsirannya jelas begitu? Sekiranya jelas para hakim tentu tidak akan mentafsirkan sebaliknya, dan itu menunjukkan ada loopholes. Itulah yang perlu kita betulkan sekarang.
Apa yang penting untuk difikirkan sekarang ialah bagaimana pada masa yang sama kita harus memelihara kepentingan orang bukan Islam. Kita harus objektif dalam perkara ini.
Dalam hal pertukaran agama, bukankah hukum Islam sahaja yang boleh menentukan sama ada seseorang itu telah Islam atau tidak? Dalam hal ini tentulah tempatnya bukan di mahkamah sivil tetapi mahkamah syariah.
WONG: Penentuan itu bergantung kepada pembuktian. Dalam hal ini, mungkin undang-undang perlu mentakrifkan apakah yang menjadikan seseorang itu memeluk Islam.
Takrifan itulah yang akan menjadi garis panduan kepada hakim, baik di mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Hujah saya ialah selagi seseorang itu tidak dibuktikan Islam, kita tidak boleh mengenakan undang-undang Islam ke atasnya. Soalnya bagaimana hendak membuktikannya, dan siapakah yang layak untuk membuktikan?
Adakah ini isu-isu yang perlu diperjelaskan?
WONG: Ya. Kalau undang-undang dalam hal ini jelas, seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak, bagaimana masalah seperti ini boleh berlaku?
Adakah ini salah laku mereka yang terlibat seperti hakim dan peguam kanan persekutuan? Kalau mereka telah tersalah tafsir mereka harus dikenakan tindakan.
Pengajaran daripada episod Moorthy
Apakah pengajaran daripada seluruh episod ini?
WONG: Setakat ini saya gembira kerana masyarakat telah cukup matang untuk membincangkan isu-isu ini tanpa membangkitkan kemarahan. Kita harus mengekalkan kematangan itu. Kalau kita mahu menjadi sebuah negara maju, kita harus dilihat sebagai masyarakat yang membangun.
Dalam pada itu, kita harus membincangkannya dengan objektif. Saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan yang bukan Islam bahawa kita harus selalu memikirkan perasaan orang Islam. Tetapi dalam pada itu tentu ada kelompok yang ekstrem, dan mereka ini kalau hendak hentam, mereka hentam saja.
Kematangan dan kesediaan kita berkongsi pandangan serta mendengar antara satu sama lain adalah sesuatu yang sihat. Kalau kita merasakan ia sudah lengkap dan jelas, kita harus memberikan kepastian yang jelas dari segi undang-undang supaya tidak akan timbul salah tafsir pada masa akan datang.
Kita harus menjelaskan perbezaan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah, serta ruang lingkup kedua-duanya. Sekiranya pembuat dasar memikirkan perkara ini masak-masak mereka akan menemui penyelesaiannya.
Maksudnya?
WONG: Kalau kerajaan dan pihak yang berkenaan ada kesungguhan politik bersedia mengakui bahawa kita sedang berhadapan dengan jalan buntu dan mahu membetulkannya untuk mencapai keadilan, kita boleh melakukannya.
Apakah yang digambarkan oleh seluruh episod ini tentang masyarakat dan negara ini?
WONG: Ia menunjukkan ada banyak isu yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama. Kita tidak harus ambil mudah bahawa semuanya elok. Oleh kerana negara ini masyarakatnya berbilang kaum, agama dan budaya, selagi itulah ada masalah yang boleh timbul.
Tetapi kita mesti bersedia menyelesaikannya dengan matang. Episod ini memberitahu kita bahawa kerajaan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan. Rakyat juga menunjukkan kematangan memberikan pandangan dan mendengar antara satu sama lain.
Ini petanda yang baik. Tetapi kita masih harus memerhatikan segelintir pihak yang menunggu untuk mengeksploitasikan isu ini. Saya rasa kerajaan perlu menangani mereka ini without fear or favour. Kalau ia tunduk kepada kehendak kelompok kecil ini, kita akan berhadapan dengan masalah.
Dengan kematangan ini, bagaimanakah saudara melihat masa depan dialog antara agama?
WONG: Kita perlu satu platform untuk sama-sama berbincang. Kita boleh menyuarakan pandangan tetapi pada akhirnya kita harus bersedia untuk tidak bersetuju.
Kepada saya, dialog antara agama dan suruhanjaya antara agama (IFC) yang pernah dicadangkan dulu adalah platform yang terbaik. Ia tidak harus dilihat sebagai penentangan orang bukan Islam kepada orang Islam. Sesetengah pihak mentafsirkannya begitu, seolah-olah kami mencabar Islam, tidak.
Tetapi kami tidak tahu siapakah yang mewakili pandangan masyarakat Islam yang boleh kami berhubung? Saya bukan mengatakan tidak ada perpaduan tetapi tidak ada badan tertentu yang ada authority yang betul-betul mewakili orang Islam.

No comments:

Post a Comment