Rungus com

Rungus com
Rungus com

Friday, February 4, 2011

KUNYIT – LEBIH DARIPADA BAHAN REMPAH UNTUK MEMBUAT KARI
oleh: Benjamin Drewe
Jarang-jarang sekali dapat kita temui sebuah taman kampung di kawasan tropika yang
tidak ditumbuhi pokok berdaun besar yang merupakan anggota famili halia ini. Nama
saintifiknya ialah Curcuma longa, manakala dalam bahasa Inggeris biasa pula ia
dipanggil Turmeric. Batangnya yang seakan akar, dipanggil rizom, ditumbuhi akar serta
tunas, dan dan mudah dikenali dengan warna kuning/jingga. Batang berakar inilah yang
menjadi bahan utama untuk dijadikan serbuk kari. Malah, rasa kunyit inilah yang
memberikan rasa utama yang terdapat pada serbuk rempah yang menjadi ramuan asas
bagi kebanyakan juadah Asia, manakala bahan rempah lain hanya menghasilkan
kebanyakannya rasa pedas-pedas sahaja.
Kunyit merupakan contoh terbaik satu keadaan yang mana garis pemisah di antara
herba bahan masakan dan herba ubatan adalah amat halus sekali. Di samping
menghasilkan perisa dan warna kepada pelbagai gulai, secara serentak sifat
antipengoksidanya melindungi sistem pencernaan anda daripada toksin (bahan
beracun) dan asid lemak berbahaya yang terkandung dalam makanan, serta membantu
sistem imun anda untuk menentang jangkitan dan meredakan masalah radang lebihan
dalam keseluruhan tubuh anda. Dari segi ini, penggunaan Kunyit dalam masakan kari
dan pelbagai jenis gulai lain di Asia sepastinya tidak berlaku secara kebetulan,
terutamanya memandangkan bahawa cuaca di negara tropika yang kebanyakannya
panas dan lembap menyebabkan makanan yang dimasak boleh menjadi basi dalam
tempoh hanya beberapa jam sahaja.
Pigmen kuning yang terdapat pada Kunyit terhasil daripada kandungan utamanya,
curcumin, yang juga merupakan ramuan ubatannya yang paling aktif. Ramuan inilah
yang telah menjadikan Kunyit suatu herba ubatan paling utama sejak zaman purba lagi.
Tidak hairanlah bahawa Kunyit tersenarai dalam sebuah kitab herba Assyria bertarikh
kira-kira tahun 600 sebelum Masihi, di samping ada juga disebut oleh seorang tokoh
masyhur dalam sejarah bernama Dioscorides. Kunyit memainkan peranan penting
dalam sistem perubatan tradisional India iaitu Ayurveda dan juga sistem perubatan
tradisional Cina, di samping menjadi suatu bahan dagangan utama yang dibawa dari
Asia ke Barat sejak zaman terawal perdagangan antara benua menggunakan kapal
layar melalui "laluan rempah" yang merentasi Lautan Hindi.
Kunyit dan ramuan aktifnya, curcumin, telah terbukti memiliki sejulat luas tindakan
penyembuh dalam kajian melibatkan haiwan mahupun kajian terhadap manusia tanpa
mengakibatkan sebarang ketoksikan (keracunan). Kajian-kajian ini telah menunjukkan
bahawa Kunyit mempunyai sifat-sifat berikut: antipengoksida, antiradang, antiplatlet,
mengurangkan kolesterol, antiketumbuhan, penyembuh luka, malah mungkin juga kesan
anti-HIV.
ANTIPENGOKSIDA
Manakala mekanisme tepat bagi tindakan bahan-bahan yang terkandung dalam Kunyit
masih diselidiki untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentangnya, diketahui
bahawa gabungan khasiat antipengoksida kuatlah yang melindungi daripada kerosakan
akibat radikal bebas, lalu dengan itu membuat Kunyit berguna dalam menentang
pelbagai masalah yang mana radikal bebas memainkan peranan utama.
ANTIRADANG
Di India, Kunyit lazim digunakan untuk merawat atritis (sakit sendi) dan asma (lelah),
bilamana penduduk kampung akan menelan serbuk Kunyit dengan sukatan sudu teh
ketika mengalami masalah. Hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa Kunyit
meredakan radang melalui tindakan antihistamin berserta peningkatan dalam
penghasilan kortison asli daripada kelenjar adrenal. Dalam dua kajian (double-blind)
didapati bahawa Kunyit memiliki sifat antiradang yang mujarab pada pesakit yang
menghidapi atritis reumatoid di samping berkesan untuk melegakan radang selepas
pembedahan.
PELINDUNG HATI
Di Asia, Kunyit lazimnya digunakan untuk merawat masalah kurang pencernaan, jaundis
(sakit kuning), serta masalah hati dan pepundi hempedu (gall bladder). Kajian telah
menunjukkan bahawa curcumin mempunyai sifat-sifat melindung hati daripada
sebilangan sebatian toksik. Kunyit juga menghasilkan kesan menggalakkan pengaliran
hempedu. Manakala Kunyit berguna untuk mencegah penyakit pepundi hempedu, ia
harus digunakan dengan lebih berhati-hati dalam merawat batu hempedu (gallstone).
Kerosakan hati akibat keracunan makanan juga dapat dipulihkan. Dalam satu kajian
rabun dua pihak (double-blind) di Thailand, Kunyit dikaji kesannya dalam melegakan
kurang pencernaan dan angin. Bilangan mengagumkan iaitu sebanyak 87% daripada
pesakit yang menerima rawatan Curcuma menunjukkan hasil positif terhadap rawatan,
yang telah mendorong penghasilan beberapa ubatan paten untuk kurang pencernaan
mengandungi curcumin terpiawai. Kunyit juga mengandungi beberapa sebatian asli
yang bertindak sebagai bahan antiasid asli, dengan itu melindungi salutan perut
daripada asid lebihan dan pembentukan ulser (borok).
ANTI-ARTEROSKLEROSIS
Kunyit juga telah terbukti berupaya mengurangkan platlet (suatu bahan kandungan
darah yang terlibat dalam pembekuan darah) daripada bergugus-gugus, lalu
memperbaik peredaran darah dan membantu melindungi daripada arterosklerosis
(pemegalan sendi). Beberapa kajian juga telah menunjukkan bahawa menelan pati
Kunyit setiap hari mengurangkan paras lipoprotein ketumpatan rendah (LDL, atau
kolesterol tidak bagus) dan meningkatkan lipoprotein ketumpatan tinggi HDL, atau
kolesterol bagus) di kalangan subjek kajian yang sihat. Kesemua penyelidik merumus
bahawa Kunyit berguna dalam pengurusan arterosklerosis dan penyakit kardiovaskular.
MENINGKATKAN SISTEM IMUN DAN ANTIBARAH
Berbilangan institut penyelidikan barah, termasuk Pusat Penyelidikan Barah Amala di
India, telah mengesahkan bahawa curcumin meningkatkan secara ketara beberapa
parameter aktiviti sistem imun dalam meningkatkan aktiviti melawan jangkitan dan
antiketumbuhan. Para penyelidik juga telah memulakan beberapa kajian terhadap
penggunaan curcumin untuk merawat jangkitan HIV, yang mana ia telah didapati
memiliki sifat-sifat anti-HIV yang nyata dalam tabung uji. Ia juga didapati melindungi
jangkitan seterusnya akibat keimunan yang terturun, misalnya jangkitan virus Epstein-
Barr (EBV). Pelbagai kajian lain juga telah menunjukkan tindakan mencegah barah oleh
curcumin dalam kes barah-barah berikut: kerviks, perut, duodenum, kolon, payu dara
dan kulit, dengan peningkatan tambahan dalam kesan pembunuh barah oleh kaedah
radioterapi dan kemoterapi.
Sebanyak manakah biasanya harus ditelan? Manakala Kunyit sebagai suatu rempah
sememangnya berguna sebagai sebahagian daripada makanan biasa seseorang,
sesetengah daripada bahan dalam kunyit tidak larut dalam air, dan sesetengah yang lain
pula terlalu peka (sensitif) terhadap haba. Dos harian yang dianggap sesuai ialah 0.5
gram serbuk kering sehari. Manakala paras curcumin yang terdapat dalam kunyit kering
biasanya antara 1.5 hingga 4%, untuk memperolehi hasil yang lebih baik pati kunyit
terpiawai dijangka lebih mujarab. Ada baiknya jika diingati bahawa Kunyit jarang kali
disediakan sebagai herba tunggal, tetapi lazimnya secara bergabung dengan herba lain
dalam rumusan herba.
FITONUTRIEN
Fasa seterusnya dalam penyelidikan herba kini mula melihat herba seumpama Kunyit
sebagai “fitonutrien” (phytonutrients), iaitu zat tumbuhan yang menyediakan kita dengan
perlindungan dan sokongan pemakanan yang penting. Zat herba ini tidak terdapat pada
suplemen garam galian atau suplemen vitamin, tetapi lahir daripada tindak balas kimia
yang rumit di antara bahan-bahan herba itu sendiri. Hanya penyelidikan selanjutnya
sahaja yang bakal memberikan kita kefahaman tepat tentang sebanyak manakah
manfaat kesihatan yang kita perolehi setiap kali kita menikmati kari atau gulai
kegemaran kita.
Benjamin Drewe ialah seorang Pengamal
Perubatan Herba. Untuk maklumat selanjutnya

No comments:

Post a Comment